Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan salam sejahtera

Pada kesempatan ini, saya ingin memanjatkan kesyukuran kepada Allah SWT atas kejayaan dalam STPM 2013 yang amat membanggakan.  Peningkatan GPS sebanyak 0.83 telah melonjakkan kedudukan sekolah di tempat ke-18 daripada 72 sekolah di Perak.  Pengekalan pencapaian 100 peratus selama 4 tahun sejak pengambilan pelajar STPM dilaksanakan, turut  menobatkan kecemerlangan sekolah.  Kejayaan ini diserikan dengan 14 pelajar memperoleh 4 P dan dua orang pelajar memperoleh 3 P.  Pencapaian ini merupakan kejayaan tebaik bagi pihak sekolah.  Rentetan kejayaan itu, Tuan Pengetua telah dijemput untuk menghadiri sidang akhbar bersama pihak jabatan.

Walaupun peperiksaan SPM mengalami sedikit penurunan,  kedudukan sekolah masih di tempat ke 12 daripada 35 buah sekolah, di daerah LMS. Kedudukan ini telah meletakkan kita hampir dengan ranking sekolah-sekolah elit, di bandar, malah kita  masih  mengungguli ranking sekolah luar bandar. Bagi peperiksaan PMR, peningkatan GPS telah meningkat sebanyak 0.3 peratus, dan turut mengungguli kategori sekolah luar bandar. Sesungguhnya, kejayaan ini telah membuktikan bahawa kita berupaya meraih kecemerlangan demi kecemerlangan dan bersaing secara positif dengan sekolah-sekolah di bandar, andai kita sematkan keikhlasan dan keazaman untuk mencipta kejayaan.

Pihak sekolah juga merakamkan ucapan tahniah kepada pelajar-pelajar yang telah berjaya memperoleh keputusan yang cemerlang. Kejayaan pelajar-pelajar ini diharap menjadi pendorong kepada pelajar-pelajar lain menggiatkan usaha agar berupaya mencapai kecemerlangan.  Para pelajar diingatkan agar berhati-hati membuat pemilihan dengan bersandarkan minat dan kelulusan.  Bagi  pelajar-pelajar lepasan SPM, pihak sekolah sentiasa mengalu-alukan kehadiran pelajar untuk menyambung pengajian di tingkatan enam di sekolah ini.

Terima kasih dan tahniah juga diucapkan kepada semua warga sekolah, meliputi guru-guru, staf-staf  sokongan,  pengawal keselamatan, pihak kantin, PIBG dan pihak yang terlibat dalam menjaga kebersihan sekolah yang saling bekerjasama menyalurkan usaha serta sumbangan untuk memastikan kejayaan anak didik di sekolah ini. Kejayaan ini juga membuktikan kemampuan sekolah dalam melahirkan pelajar-pelajar yang berkualiti, walaupun hakikatnya pelajar-pelajar ini merupakan pelajar-pelajar luar bandar yang serba kekurangan.

Semoga kejayaan dan penganugerahan Sijil Penghargaan bagi peningkatan GPS Tertinggi (PMR dan STPM 2013), bakal menyuntik semangat warga sekolah untuk meneruskan usaha tanpa mengenal  putus asa, tanpa mengenal cabaran bertimpa agar kita mampu meraih kejayaan  berganda.  Yakinlah kita boleh, dan SMK Tat Beng pasti akan terus melangkah dalam melakar kejayaan demi kejayaan. Bersatu kita teguh, kejayaan pastikan utuh.

 

Salam kejayaan, salam harapan buat semua warga sekolah yang sentiasa memahami.

Sekian, sekalung terima kasih buat semua.