Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan salam sejahtera.

Pada kesempatan ini, saya ingin memanjatkan kesyukuran kepada Allah SWT atas kejayaan PMR 2012 yang terbaik setakat ini.  Bagi sekolah luar bandar, pencapaian 69.43 peratus dengan 10 pelajar mencapai 8A dan kedudukan GPS yang meningkat dari 3.02 pada tahun 2011 kepada 2.90 adalah cukup membanggakan warga sekolah.  Jika ditinjau, pada tahun 2010, kita telah memperoleh Sijil Penghargaan Pencapaian Terbaik PMR (kategori luar bandar), berdasarkan GPS 2.91, manakala pada tahun 2011, pihak sekolah dianugerahkan Sijil Penghargaan Lompatan Saujana Kualiti dengan enam orang pelajar mencapai 8A dan bagi tahun 2012, kita telah dianugerahkan Sijil Penghargaan Anugerah Kecemerlangan Kategori Peningkatan Pencapaian Kualiti, Kuantiti dan GPS.  Sesungguhnya, penghargaan ini membuktikan bahawa kita berupaya meraih kecemerlangan dan bersaing secara positif dengan sekolah-sekolah di bandar.

Pihak sekolah juga merakamkan ucapan tahniah kepada pelajar-pelajar yang telah berjaya memperoleh keputusan yang cemerlang. Kejayaan pelajar-pelajar ini diharap menjadi pendorong untuk pelajar-pelajar lain menggiatkan usaha agar berupaya mencapai kecemerlangan. Ingatlah bahawa “Jika tidak dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya.”

Terima kasih dan tahniah juga diucapkan kepada semua warga sekolah, meliputi guru-guru, staf-staf  sokongan,  pengawal keselamatan, pihak kantin dan pihak yang terlibat dalam menjaga kebersihan sekolah yang saling bekerjasama menyalurkan usaha serta sumbangan untuk memastikan kejayaan anak didik di sekolah ini. Selain program-program yang diatur, kunci kejayaan anak didik sudah pasti terletak pada keikhlasan guru-guru untuk membimbing anak didik agar mereka mampu meraih kejayaan seumpama ini. Kejayaan ini juga membuktikan kemampuan sekolah dalam melahirkan pelajar-pelajar yang berkualiti, walaupun hakikatnya pelajar-pelajar ini bukanlah merupakan pelajar-pelajar yang memperoleh keputusan UPSR 5A.  Namun begitu, melalui usaha pihak sekolah, kita mampu membariskan pelajar-pelajar yang cemerlang dengan pencapaian PMR 8A.

Terima kasih juga diucapkan kepada ibu bapa yang bekerjasama dalam memantau anak-anak untuk memastikan kejayaan mereka.  Pihak sekolah sentiasa mengharapkan kerjasama yang erat antara pihak ibu bapa dan pihak sekolah.  Semoga melalui kerjasama ini kita akan mampu meningkatkan pencapaian pada masa hadapan.  

Semoga kejayaan dalam PMR 2012 ini, bakal membakar semangat warga sekolah untuk meneruskan usaha tanpa mengenal jemu dan putus asa, tanpa mengenal cabaran yang bertimpa, demi mengaut kejayaan yang berganda.  Yakinlah kita boleh, dan SMK Tat Beng pasti akan terus melangkah ke hadapan.

 

Sekian, terima kasih.

 

Hj Aizuddin b. Dato Hj Husin

Pengetua

SMK Tat Beng