Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan salam sejahtera

Pada kesempatan ini, saya ingin memanjatkan kesyukuran kepada Allah SWT atas kejayaan dalam SPM 2014.  Pencapaian 92.42 peratus merupakan satu lompatan saujana dengan peningkatan sebanyak 8.12 peratus berbanding pencapaian 84.30 peratus tahun lalu.  Pencapaian Gred Purata Sekolah (GPS), iaitu 5.11  bebanding 5.12 tahun lalu dengan peningkatan sebanyak 0.01 telah meletakkan kedudukan sekolah di rangking ke 14 dalam senarai 34 buah sekolah di Daerah Larut Matang dan Selama.  Pencapaian  kualiti dengan seorang pelajar, iaitu Tan Lee Fang yang memperoleh 9 A+ dan 1A jelas membuktikan bahawa SMK Tat Beng berupaya melahirkan pelajar yang cemerlang setanding sekolah-sekolah di bandar.  Keputusan cemerlang yang diraih oleh pelajar ini menjadi kebanggaan kepada semua warga sekolah.  Pencapaian dalam SPM ini juga turut membariskan  seorang pelajar memperoleh  8A,  4 orang pelajar mencapai 6A dan 10 orang pelajar memperoleh 5A  serta 7 orang pelajar memperoleh 4A.  Kejayaan ini telah membuktikan bahawa sekolah luar bandar juga mampu bersaing dengan sekolah-sekolah elit di bandar.

Pihak sekolah juga merakamkan ucapan tahniah kepada pelajar-pelajar yang telah berjaya memperoleh keputusan yang cemerlang. Kejayaan pelajar-pelajar ini diharap menjadi pendorong kepada pelajar-pelajar lain menggiatkan usaha agar berupaya mencapai kecemerlangan.  Pelajar-pelajar diingatkan agar berhati-hati membuat pemilihan dengan bersandarkan minat dan kelulusan.  Sekiranya  pelajar-pelajar tidak mendapat tempat di sebarang institusi dan universiti, pihak sekolah mengalu-alukan para pelajar yang ingin menyambung pengajian di tingkatan enam di sekolah ini.

Terima kasih dan tahniah juga diucapkan kepada semua warga sekolah, meliputi guru-guru, staf-staf  sokongan,  pengawal keselamatan, pihak kantin, PIBG dan pihak yang terlibat dalam menjaga kebersihan sekolah yang saling bekerjasama menyalurkan usaha serta sumbangan untuk memastikan kejayaan anak didik di sekolah ini. Kejayaan ini juga membuktikan kemampuan sekolah dalam melahirkan pelajar-pelajar yang berkualiti, walaupun hakikatnya pelajar-pelajar ini merupakan pelajar-pelajar luar bandar yang serba kekurangan.

Semoga kejayaan dalam SPM 2014 ini, bakal membakar semangat warga sekolah untuk meneruskan usaha walaupun tahun ini merupakan tahun terakhir saya di sekolah ini.  Saya berharap warga sekolah akan terus menyalur usaha demi memastikan anak bangsa mampu mengukir kejayaan dan melonjak nama SMK Tat Beng di mana jua. Yang bulat tidak akan datang bergolek, yang pipih tidak akan datang melayang. Padukan tekad, nyalakan hasrat, pasti kejayaan menjadi milik kita.

Sekian, terima kasih.